Aku اکو

"..dlm banyak2 perkara yang aku lalui dlm sehari kehidupan ini, perkara yg amat aku kesali adalah setiap kali terbenamnya matahari, umurku berkurang dan amal ibadatku tidak bertambah."

AkSarA bUDi اکسارا بودي



Asalamualaikum w.b.t.
Hamba coretkan kalam ke atas lembaran maya bagi mengisi permukaan naskhah dengan aksara budi. Pengunjung sekalian umpama cendekiawan yang datang dengan pelbagai persoalan dan ideology tersendiri. Hamba sekadar anak muda yang ingin melunaskan cita-cita berkongsi wadah menggayakan intelektiviti. Hamba dengan rendah hati memohon maaf atas segala kekurangan budi bicara dalam tinta ini. Yang baik dari Allah. Yang khilaf milik hamba. Andai pemikiran hamba tersungkur dari batas ilmu, cuit-cuitkan bahu hamba. Usah dicubit sembunyi tangan. Maka yang salah tak dapat diperbetul. Yang baik tak hamba peroleh. Hamba ini umpama anggerik. Liar di hutan harum tiada. Direntap kasar hancur kelopak. Dipetik baik jadi jambangan. Menemui blog hamba dalam jutaan blog ilmuan lain, umpama menemukan anggerik di hutan desa. Mohon tetamu bertanya dengan bahasa. Menegur biarlah berilmu. Memikat dengan budi. Bermusuh jangan sekali. Riwayat hidup tiada lama. Andai terpisah siraturahim, di dalam tanah kecundanglah hamba. Salam ukhwah untuk semua.

Cinta Al-Aqsa

Salam Ukhwah سلام اوقوه











Sutera mewah hamba sembahkan

Bawa ke anjung bersama suasa
Salam Ukhwah hamba hulurkan
Buat pengunjung Cinta Al-Aqsa

Keris didamba seluruh persada
Tradisi dibawa mudik kelaut
Bicara hamba masih muda
Gurulah jua tempat berpaut

Puteri ternama jadi impian
Seisi kota merisik tanya
Lorong agama penuh ujian
Peluklah kita pada akarnya

Cinta Al-Aqsa,Kuala Lumpur

Bicara Umar Ibn al-Khattab ketika pembukaan Masjid Al-Aqsa
"Kita dahulunya merupakan kaum yang hina, Allah S.W.T telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain daripada apa yang telah Allah muliakan kita dengannya, maka kita akan dihina Allah."
(Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh az-Zahabi, lihat: al-Mustadbrak, 1/237, Beirut Dar al-Ma'rifah

Suka Duka Bahasa Kita - Ukiran kenangan demontrasi mansuh PPSMI

oleh; cinta al-aqsa -sesiapa sahaja boleh menyalin artikel saya ini untuk dimuatkan dilaman blog anda. Kerana ia memang ilmu yang dibuat untuk dikongsi.Sesetengan dari karya saya telah pun diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka


Inilah syair tentang bahasa
Suka duka sebuah bangsa
Di uji dicabar setiap masa
Namun tetap ia perkasa

            Berabad lama di nusantara
            Bernaung dibawah 3 bendera
            Harungi pelbagai duka dan lara
            Namun tetap dijunjung sejahtera

Bahasa rasmi rakyat Malaysia
Dibawah kelompok Austronesia
Warisan jangan dipersia
Pertahan hingga akhir usia

            Sanskrit membentuk bahasa ibunda
            Dulu lingua franca Hindu-Buddha
            Namun Islam menjadi petanda
            Bahasa berubah seluruh persada

Batu bersurat Sumatera Selatan
Kuala Terengganu pengukuh ikatan
Bukti sejarah saling berkaitan
Bahasa kita bahasa persuratan

            Zaman peralihan Melayu Tua
            Di Pengkalan Kempas artifak tersua
            Ukiran teks Jawi dan Jawa
            Menjadi catatan sejarah jua

Berasal dari Jambi-Palembang
Dari Pasai ia berkembang
Bahasa kita menjadi lambang
Jatidiri sentiasa seimbang

            Islam dan Sastera menjadi alas
            Kesultanan Melaka berhempas pulas
            Memajukan bahasa dengan ikhlas
            Namun merosot selepas 1511

Abad ke-17 ia tersohor
Di Melaka,Aceh dan juga Johor
Bahasa Melayu semakin masyhur
Ditutur oleh rakyat yang luhur

            Serapan Bahasa Belanda,Portugis
            Tak terkecuali bahasa Inggeris
            Kurun 19 zaman tragis
            Pejuang bahasa kian terguris

Selepas merdeka 1968
Bahasa kebangsaan semakin mampan
Bergerak bebas maju ke depan
Matlamat dijulang penuh kesanggupan

            Kerana bahasa hendak dinobat
            Pejuang bangsa diuji hebat
            Hampir saja digelar Jebat
            Asal jatidiri kita bermartabat

Bahasa yang kekal berabad-abad
Goyah kerana gilakan darjat
Hingga riuh medan debat
Semangat bangsa menjadi ubat
            Kalau impikan rakyatnya aman
            pemimpin negara biarlah siuman
            warisan yang kekal zaman berzaman
            biarkan terus subur dilaman
Hendaklah kita mengenggam tekad
Ibu pertiwi sama diangkat
Iman dan ilmu sama terlekat
Agar perjuangan mendapat berkat
            Warisan bangsa sama dijulang
            Mana yang sesat marilah pulang
            Sama mencari maruah yang hilang
            Agar kita terus gemilang
Persuratan lama menjadi azimat
Bahasa kita penuh hikmat
Didalam hati cinta tersemat
Kepada bahasa yang bermatlamat
            Inilah coretan bahasa kita
            Penuh cerita suka dan duka
            Asalkan kita tidak leka
            Bahasa kan harum setiap ketika
nuraliahnuman
23 hb Oktober 2009
Kuala Lumpur

Syair ini telah disiarkan didalam majalah Tunas Cipta.Terima kasih kepada cikguku,Tn Hj Faisal Tehrani yang tolong bagi syair ni pada editor. Sekarang,dibawah seliaan Tn Haji Faisal juga,saya sedang dalam proses menyiapkan fragment novel yang betemakan cinta antara Andika dan Melati abad ke 17 yang mengupas isu terkuburnya tulisan jawi dan sejarah bahasa Melayu.Tapi kosa katanya banyak berkias kerana saya mencubit-cubit ahli politik tertentu melalui pena.

No comments: